Ahad, Disember 06, 2009

Dosa komunis tidak diampun

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

SELEPAS hampir setengah abad Darurat berakhir dan dua dekad pula Parti Komunis Malaya (PKM) meletakkan senjata dalam rundingan damai di Hatyai, Thailand luka yang ditinggalkan komunis cukup sukar dilupakan. Komunis telah melukakan bangsa apabila bercita-cita memerintah negara, kekejaman menjadi kaedahnya.

Kekejaman yang menjadikan semua nyawa rakyat begitu murah di tangan komunis dan pembunuhan terhadap mereka yang tidak berdosa berlaku di mana-mana saja. Ini yang membuatkan semua lapisan rakyat tidak mungkin melupakan penderitaan yang ditinggalkan oleh komunis kepada nenek moyang mereka.

Komunis menjadi lebih kejam daripada penjajah yang silih berganti bertandang di negara ini. Kerakusan untuk menjadikan rantau Asia Tenggara sebagai wilayah komunis. Ini juga membuatkan komunis memilih pendekatan kekerasan bagi menjadikan Malaya sebagai negara komunis.

Perihal kekejaman dan kejahatan komunis di Malaya waktu itu diperkatakan dalam banyak buku yang ditulis berdasarkan kajian ilmiah dan juga pengalaman penulis. Misalnya Communism and the Emergency oleh Anthony Short. Buku ini menyentuh tentang usaha membanteras kegiatan komunis dan juga rundingan di Baling.

The Communism Strunggle in Malaya oleh Gene Z. Hanrahan, Hearts and Minds in Guerrilla Warfafe: The Malayan Emergency 1948 - 1960 oleh Richard Stubbs , Operation Ginger oleh Yuen Yuet Leng, Darurat 1948 - 1960 oleh Ho Hui Ling dan berbelas lagi buku yang semuanya mendedahkan keganasan serta kekejaman komunis terhadap rakyat tempatan.

Semua kajian dalam buku-buku berkenaan menjadi bukti bahawa komunis membawa kesengsaraan kepada rakyat di sebalik slogan perjuangan untuk keadilan kesaksamaan. Perjuangan menuntut kemerdekaan hanya eksploitasi komunis yang hakikatnya untuk berkuasa dan mengembangkan wilayah komunis yang berpangkalan di China.

Malah daripada buku-buku ini juga didedahkan bagaimana angkara komunis telah mencetuskan keadaan sosiopolitik yang penuh kacau bilau. Hubungan kaum penuh prejudis apabila ada kaum yang sinonim dengan komunisme dan kaum lain mencurigainya.

Walaupun hari ini negara sudah bebas daripada ancaman komunis tetapi parut dan trauma generasi lama turut dirasakan oleh generasi masa kini. Komunis tidak memilih mangsa; Melayu, Cina atau India menjadi mangsa mereka sekiranya tidak berkerjasama memberikan bahan makanan atau turut berjuang menentang kerajaan.

Generasi selepas merdeka wajar berterima kasih kepada pengarah filem Tan Sri Jins Shamsuddin yang menzahirkan bayangan kekejaman komunis menyerang balai polis Bukit Kepung di Muar. Tragedi berdarah pada 22 Februari 1950 itu dilakar semula menerusi filem Bukit Kepong dan igauan ngeri generasi era Darurat terpancar.

Kekejaman

Biarlah apa saja dilabelkan pengkritik terhadap filem Bukit Kepong, tetapi tidak boleh menafikan bahawa filem ini menyelak satu sejarah kekejaman paling tragis pada zaman Darurat.

Suatu yang pasti komunis tidak meninggalkan setitis pun catatan manis kepada rakyat, sebaliknya meninggalkan selautan sengsara yang menghantui hidup sepanjang hayat. Misalnya antara tahun 1948 hingga 1952, komunis telah membunuh tidak kurang 2,599 orang awam yang sebahagian besarnya orang Cina. Sepanjang Darurat pula, mengikut statistik sebanyak 1,865 perajurit terbunuh sementara 2,560 perajurit dicederakan oleh komunis. Bayangkan kekejaman mereka.

Komunis adalah bala kepada negara, rakyat dan kemanusiaan di negara ini. Kerana itu jangan menganggap tragedi yang telah lama berlaku akan dilupakan dan rakyat sedia memaafkan mereka yang bersekongkol dengan komunis.

Baru-baru ini bekas Setiausaha Agung PKM, Chin Peng berhasrat untuk kembali ke negara ini, negara kelahirannya selepas lebih setengah abad melarikan diri ke luar negara. Chin Peng berhasrat mahu mati di negara kelahirannya. Tetapi hasrat Chin Peng ditentang oleh pelbagai lapisan dan kaum.

Pada masa ini Chin Peng sudah tidak berguna kepada sesiapa, apa lagi PKM sudah lama berkubur. Sementara komunisme pula menjadi ideologi muflis selepas runtuhnya negara-negara blok komunis di Eropah Timur dan sistem komunis di China sudah berubah. Jadi Chin Peng tidak berguna kepada sesiapa. Kepada negara ini, Chin Peng bukan saja tidak berguna tetapi juga merobek parut luka yang lama.

Anak kelahiran Setiawan, Perak ini menjadi paksa kejahatan yang digerakkan menerusi PKM. Darurat terpaksa diisytiharkan pada 1948 hingga 1960 sebagai satu jalan akhir untuk memerangi PKM yang bergerak secara aktif di hutan-hutan dan tali barut mereka di pinggir-pinggir bandar.

Walaupun ideologi komunis telah tersebar ke negara ini sejak awal tahun 1920-an lagi tetapi pada 1948 komunis menjadi semakin ganas. Ini dianggap sebagai kemuncak gerakan bersenjata komunis yang mahu merebut negara ini daripada British selepas Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua. British tidak mempunyai pilihan kecuali melancarkan gerakan pembanterasan secara besar-besaran apabila negara diletakkan dalam Darurat.

Sejarah pula menunjukkan pendatang Cina pada dekad 1920-an yang menjadi ahli parti Kuomintang (KMT) memperkenalkan ideologi komunis di negara ini. Pada masa yang sama juga pemimpin-pemimpin komunis Indonesia seperti Tan Malaka, Alimin, Winanta, Boedisoejitro menyebarkan ideologi komunis di negara ini selepas penduduk di pulau Jawa menolak komunis.

Tetapi dalam tempoh Darurat antara 1948 hingga 1960 dianggap banyak mengorbankan nyawa rakyat yang tidak berdosa kerana angkara komunis. Mereka menjadi tempat komunis melepaskan kemarahan kepada British. Sejumlah besar harta benda pula menjadi abu apabila komunis mengambil pendekatan musnah dan bakar kampung-kampung Melayu dan juga Cina yang tidak memberi kerjasama kepada perjuangan mereka.

Darurat menjadi satu fragmen penting dalam sejarah sosiopolitik negara ini. Darurat juga mencetuskan ketegangan dalam hubungan kaum akibat rakyat hidup dalam kemiskinan dan ketakutan. Mereka boleh saja dibunuh bila-bila masa dan di mana-mana saja.

Komunis telah memberikan trauma yang cukup hebat kepada rakyat. Kekejaman yang dilakukan atas alasan perjuangan menentang penjajah British lebih banyak mengorbankan rakyat berbanding penjajah.

Siapa yang boleh melupakan tragis dan kejamnya pembunuhan yang dilakukan komunis dalam tragedi Bukit Kepong yang mengorbankan 23 orang anggota polis dan keluarga? Begitu juga dengan tragedi mengebom di Dewan Cina di Hale Street, Ipoh pada 10 April 1949 ketika mesyuarat MCA berlangsung. Presiden MCA Tan Cheng Lock cedera parah dalam serangan yang dilakukan kerana dendam terhadap MCA dan Tan Cheng Lock yang menjadi penghalang pergerakan komunis.

Akibat keganasan dan kekejaman komunis terhadap rakyat terutama di kampung-kampung, perintah Darurat juga mendatangkan satu lagi keperitan kepada orang awam. Sepanjang Darurat, perintah berkurung dan pemindahan telah mendatangkan kesusahan kepada orang awam.

Walaupun Darurat ditamatkan pada 31 Ogos 1960 tetapi ini bukanlah petanda negara telah bersih daripada anasir komunis yang mengalih operasi di sempadan Thailand. Sepatutnya masa dan wang yang diperuntukkan untuk memerangi komunis boleh digunakan untuk memberi pembangunan kepada rakyat selepas negara mencapai kemerdekaan.

Tetapi disebabkan kegiatan komunis masih menganggu dan menimbulkan ketakutan kepada rakyat, kerajaan terpaksa menyediakan peruntukkan yang besar untuk membanteras anasir komunis. Serang hendap terhadap pasukan keselamatan terus berlaku selepas Darurat ditamatkan.

Sejarah kekejaman komunis terhadap rakyat yang tidak berdosa wajar menjadi pengajaran kepada semua. Walaupun tragedi itu sudah lama berlalu tetapi pengalaman pahit tidak mungkin dapat dilupakan oleh keluarga para perajurit yang terkorban memerangi komunis. Sampai bila sekali pun kebencian dan kemarahan kepada komunis tidak mungkin reda.

Tentunya kita tidak dapat melupakan bagaimana Timbalan Penguasa Polis Wong Lim Hoon dibunuh di Kuala Lumpur pada 18 Januari 1973, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahman Hashim dibunuh di Kuala Lumpur pada 4 Jun 1974, meletupkan Tugu Negara pada 26 Ogos 1975. Selain nama-nama di atas banyak lagi kekejaman dan kejahatan yang dilakukan oleh komunis yang tertulis dalam sejarah negara ini. Dosa mereka tidak terampun.

Sabtu, Disember 05, 2009

Skirt pendek disambar api

Oleh Zalifah Mohd Yatim
zalifah@hmetro.com.my

MUAR: Seorang wanita melecur pada tangan dan paha apabila skirt pendeknya terbakar akibat disambar api ketika melalui kawasan berhampiran longgokan kertas yang sedang dibakar di hadapan pejabatnya di Jalan Bakariah di sini, tengah hari semalam.

Dalam kejadian jam 12. 30 tengah hari itu, mangsa, Liu Yong Ling, 28, dipercayai baru keluar dari pintu pejabat menuju ke arah motosikalnya dan ketika melalui kawasan longgokan sampah yang dibakar, tiba-tiba api menyambar depan skritnya.

Seorang kenalan mangsa yang enggan dikenali berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa hendak balik ke rumah untuk makan tengah hari bersama keluarga yang tinggal berdekatan.

“Sebaik keluar dari pejabat, Liu menuju ke arah motosikalnya dan kebetulan ada individu sedang membakar sampah termasuk kertas di kawasan itu dan ketika dia melintas, tiba-tiba api menyambar skirtnya menyebabkan mangsa terkejut.

“Mangsa cuba memadamkan api dengan tangan sebaliknya api bertambah marak.

“Bagaimanapun, mangsa yang bekerja sebagai kerani akaun tidak mengendahkan api yang marak serta rasa pedih apabila terus menggunakan tangan memadamkan api dan usahanya hanya berjaya selepas dibantu orang awam yang turut berada di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, kemungkinan bahan pada skirt dipakai mangsa mudah terbakar, walaupun berpunca daripada percikan api yang kecil.
Menurutnya, dalam usaha menyelamatkan diri, mangsa terus memadamkan api dengan menggunakan tangan dan situasi itu menyebabkan tangannya melecur.

“Mangsa yang terkejut dan melecur pada tangan serta paha kanan dibawa majikannya ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk menerima rawatan. Nasib baik dia cepat bertindak kerana jika tidak, keadaan pasti lebih teruk,” katanya.

Tersepit lubang tandas

Oleh Zalifah Mohd Yatim
zalifah@hmetro.com.my

MUAR: Keseronokan seorang kanak-kanak lelaki mandi sambil bermain dengan buih sabun, bertukar tragedi apabila dia terpaksa menanggung derita hampir dua jam berikutan tergelincir sebelum kaki kanannya tersepit di dalam lubang tandas di rumahnya di Taman Bakri Jaya, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Mohd Hariz Helmi Ishak, 10, sedang membersihkan dirinya dengan sabun menyebabkan lantai bilik mandi dipenuhi buih dan menjadi licin.

Lebih memburukkan keadaan, air pancuran tidak berfungsi dan ketika mangsa mencedok air di dalam baldi berhampiran lubang tandas, kaki kanannya tergelincir sebelum tersepit di dalam lubang itu.

Difahamkan, mangsa menjerit meminta bantuan tetapi malangnya usaha kedua ibu bapanya membantu termasuk menarik keluar kaki kanak-kanak itu gagal berikutan lubang tandas itu kecil dan sempit.

Berikutan itu keluarganya menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Muar dan kaki kanak-kanak terbabit berjaya dikeluarkan dari lubang berkenaan tanpa sebarang kecederaan selepas tersepit selama hampir dua jam.

Pegawai Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Muar, Ismail Mahmod, berkata keluarga mangsa menghubungi pihaknya untuk meminta bantuan bagi menyelamatkan kanak-kanak terbabit, jam 10.06 pagi.

Bagaimanapun, katanya, usaha mengeluarkan kaki kanak-kanak itu berjaya jam 11.45 pagi kerana struktur konkrit pada lantai tandas itu sukar dipecahkan.

“Selain berusaha menenangkan mangsa, sebahagian lantai tandas itu terpaksa dipecahkan sedikit demi sedikit supaya kaki kanak-kanak itu dapat dikeluarkan dengan selamat.

“Satu lubang terpaksa dibuat di sudut belakang mangkuk tandas itu sebelum kaki mangsa dapat dikeluarkan dengan selamat,” katanya.
Sementara itu, Mohd Hariz berkata, dia terkejut dan seolah-olah tidak percaya kejadian seumpama itu boleh menimpanya.

“Saya bernasib baik kerana sepanjang kejadian, kaki saya tidak terasa sakit sebaliknya saya amat letih kerana terpaksa menunggu hampir dua jam sebelum kaki yang tersepit dikeluarkan,” katanya.

Jumaat, Disember 04, 2009

Parit Bugis rai artis pujaan

MUAR 3 Dis. - Keriangan jelas terpancar pada wajah penduduk Kampung Parit Bugis di sini semalam kerana dapat bertemu artis pujaan mereka menerusi program lawatan 'Kembara Seniman, Jelajah Malaysia'.

Ketibaan rombongan seramai 53 orang artis itu disambut dengan penuh meriah dan pelbagai rangka aktiviti disusun dalam mengeratkan hubungan antara artis dengan masyarakat setempat.

Ia diketuai Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Datuk Mustapha Maarof, dan para artis dalam rombongan berkenaan cukup mesra dengan penduduk kawasan itu.

Mereka termasuk Datuk Aziz Sattar, Tan Sri Jins Shamsudin, Hail Amir, Datin Azizah Mohamad, Aspalela Abdullah, Imuda, Abu Bakar Omar serta artis Akademi Fantasia seperti Nas Adilah, Aliff, Shidi dan Rini.

Insan seni berkenaan tidak menang tangan untuk melayan para peminat yang mahu mengenali secara lebih mesra di samping mengambil kesempatan bergambar bersama.

Antara pengisian program yang bermula semalam itu adalah lawatan ke premis-premis Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di kampung itu selain pertunjukan pentas yang cukup menghiburkan dan persembahan kebudayaan.

Menurut Hail Amir, kesempatan menerusi rombongan tersebut memberi peluang kepadanya untuk mendekati peminat-peminat yang berada di luar bandar.

"Reaksi yang saya terima adalah di luar jangkaan kerana masih ramai peminat di luar sana yang begitu menghargai kita.

"Peluang ini juga dapat digunakan sebaik-baiknya untuk menyemarakkan lagi gagasan 1Malaysia yang menggalakkan masyarakat di negara kita ini saling bersatu-padu," katanya.

Sementara itu, Jins Shamsuddin berkata, Muar merupakan destinasi keempat rombongan tersebut selepas melawat Tanjung Karang; Selangor, Kuantan; Pahang dan Ipoh, Perak.

"Warga seni sebenarnya dapat memainkan peranan untuk menyatupadukan masyarakat kerana kesenian dan kebudayaan tidak mengenal tembok pemisah," katanya.

Kafe siber: MPM tiada tolak ansur

MUAR 3 Dis. - Majlis Perbandaran Muar (MPM) tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pengusaha kafe siber yang beroperasi lebih had waktu memandangkan premis berkenaan sering kali disalah guna untuk kegiatan ponteng sekolah.

Yang Dipertua MPM, Abd. Wahab Ridwan berkata, pihaknya akan bertindak menampal notis pemberitahuan peraturan di setiap kafe siber di kawasan majlis perbandaran ini supaya tiada alasan remeh diberikan mengenainya.

"Peraturan menyatakan waktu tamat operasi adalah sehingga pukul 12 tengah malam tetapi sesetengah peniaga berdolak-dalik dan hanya menutup sementara untuk dibuka kembali pada pukul 1.00 pagi.

"Notis yang kami akan tampal di setiap pintu premis ini akan menunjukkan waktu operasi adalah dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam dan peniaga tidak boleh beri alasan untuk gagal memenuhi syarat yang ditetapkan," katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya menerima banyak aduan daripada ibu bapa mengenai kafe siber beroperasi melebihi had waktu sehingga anak mereka tidak balik ke rumah kerana terlalu leka bermain komputer.

Baru-baru ini, Abd. Wahab bersama pegawai penguat kuasa MPM membuat serbuan di sebuah kafe siber di Sungai Abong di sini yang beroperasi melebihi had waktu dan seramai 20 pelajar asrama sebuah sekolah turut dikenakan amaran kerana berada dalam premis itu.

Sementara itu, menurut jurucakap Sekolah Menengah Sains Muar, 20 pelajar yang 'dicekup' itu bukannya pelajar sekolah asrama penuh sebaliknya merupakan pelajar asrama sekolah lain di daerah Muar.

Jelasnya, kenyataan akhbar semalam mengenai pelajar terbabit merupakan pelajar sekolah berasrama penuh sedikit sebanyak menimbulkan kekeliruan dan juga tekanan kepada pelajar-pelajar sekolah berkenaan yang sedang menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Kami juga menerima aduan daripada ibu bapa yang bimbang dan risau sekiranya anak mereka turut terlibat dalam kegiatan itu," katanya.

Khamis, Disember 03, 2009

Calon SPM asrama penuh dicekup

Oleh KAMIL MASLIH
utusanjohor@utusan.com.my

MUAR 2 Dis. – Lebih 20 pelajar sebuah sekolah asrama penuh ‘dicekup’ dalam serbuan ke atas sebuah premis kafe siber di Sungai Abong di sini yang beroperasi melebihi pukul 12 tengah malam.

Dalam operasi pada kira-kira pukul 1 pagi itu semalam, kesemua pelajar berusia 17 tahun itu adalah calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal mengambil kertas ujian pada Khamis ini.

Bagaimanapun, pelajar-pelajar berkenaan tidak dikenakan tindakan lanjut sebaliknya diberi nasihat mengenai kesalahan dan amaran supaya tidak mengulanginya.

Pelajar terbabit yang tinggal di asrama kerana tidak pulang kampung untuk cuti Aidiladha, kemudiannya diserahkan kepada penyelia asrama dan dibenarkan pulang.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Abdul Wahab Ridwan berkata, pihaknya menjalankan operasi bersepadu memeriksa kafe-kafe di sekitar bandar ini melibatkan kerjasama polis dan pejabat daerah.

Jelas beliau, kafe siber berkenaan diberikan amaran untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan atau lesen ditarik balik.

“MPM beri ingatan kepada peniaga supaya patuh undang-undang, premis tanpa lesen perlu menutup operasi mereka jika tidak tindakan yang lebih berat akan dikenakan terhadap mereka,” katanya.

Menurutnya, setakat ini hanya 41 siber kafe di daerah ini yang diberi lesen perniagaan, manakala 17 lagi, permohonan baru dibekukan.

Katanya, pihaknya memandang serius kafe siber beroperasi melebihi had waktu kerana menerima banyak rungutan daripada ibu bapa apabila anak mereka tidak balik ke rumah kerana leka di premis terbabit.

“Pemberian lesen bertujuan baik untuk memudahkan masyarakat yang tiada komputer mendapatkan maklumat.

“Tetapi kini ia disalah guna dengan lebih banyak digunakan untuk membuang masa seperti permainan video,” katanya.

Selasa, Disember 01, 2009

Bangunan pentadbiran JPJ Muar terbakar

MUAR 30 Nov. - Sebuah blok yang menempatkan pejabat pentadbiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cawangan Muar di Sungai Abong di sini, hampir musnah dalam kebakaran awal pagi ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1.15 pagi itu, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Pegawai Kanan Bomba dan Penyelamat Muar, Ismail Mahmud berkata, api pada mulanya dilihat orang ramai dalam bentuk percikan namun ia marak hingga hampir memusnahkan tingkat satu bangunan berkenaan.

Kata beliau, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.25 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.

"Bahagian yang terlibat dalam kebakaran ini adalah tingkat satu bangunan pentabdiran namun pihak kami berjaya mengawal api daripada merebak ke stor senjata.

"Secara keseluruhan, sebanyak tiga buah jentera dan 17 anggota bomba terlibat dalam operasi memadam kebakaran yang tamat pada pukul 3 pagi ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, anggaran kerugian dan punca sebenar kebakaran masih lagi dalam siasatan pihaknya.

Sementara itu, Ketua JPJ cawangan Muar, Azmil Zainal Adnan berkata, antara yang musnah dalam kebakaran itu adalah pejabat pentadbiran, bilik ketua pejabat dan separuh daripada bilik mesyuarat.

Katanya, semasa kejadian, tiada kakitangan yang berada di dalam premis bangunan melainkan dua orang pengawal keselamatan yang bertugas di pintu masuk hadapan.

"Berikutan insiden ini, operasi di pejabat JPJ cawangan ini tergendala dan tidak dapat dilaksanakan sehinggalah keadaan menjadi pulih.

"Bagi sebarang urusan berkaitan JPJ, orang ramai diminta pergi ke cawangan JPJ yang berdekatan iaitu cawangan Segamat dan Batu Pahat," katanya.

Menurutnya, bagi orang ramai yang ingin berurusan memperbaharui lesen memandu, cukai jalan dan penukaran hak milik kenderaan, mereka juga boleh berbuat demikian di mana-mana pejabat pos berhampiran.

Penjenayah menyamar polis pecah rumah

MUAR 30 Nov. - Seorang penjenayah meloloskan diri daripada orang awam dengan menyamar sebagai anggota polis dalam kejadian pecah rumah di Jalan Jabbar, Parit Jawa di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu, penjenayah terbabit melarikan wang tunai lebih RM1,000 serta barangan kemas yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3,000.

Menurut saksi kejadian, Koh Chai Siong, 54, dia melihat seorang lelaki yang dalam keadaan mencurigakan berada di bahagian belakang rumah adiknya lalu dia bertindak menegurnya.

"Lelaki yang bertubuh sasa itu mendakwa dirinya sebagai anggota polis dan memberitahu dia bersama lima rakan anggota lain sedang mencari seorang lelaki bernama Ah Hock.

"Secara kebetulan, saya mempunyai adik yang sering kali dipanggil Ah Hock namun dia tinggal di Perak, dan itu membuat saya bertanya lebih lanjut mengenai pengenalan sebenar lelaki itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, sebaik sahaja adiknya, Koh Chai Kim, 52, tiba di rumah, lelaki itu kemudian segera menaiki sebuah kereta yang menunggunya dan melarikan diri.

"Kami cuba mengejar kereta lelaki itu, namun dia telah melanggar lampu merah di simpang empat pekan Parit Jawa sehingga kami tidak mampu lagi untuk mengejarnya," katanya yang tinggal bersebelah rumah adiknya.

Sementara itu, jelas mangsa kejadian, Chai Kim, dia sedang bekerja di Pasar Awam Parit Jawa dan tiada orang yang berada dalam rumah ketika kejadian itu berlaku.

"Bilik tidur saya habis digeledah selain pintu depan rumah saya diumpil, lelaki itu juga cuba melarikan wang syiling yang saya kumpul namun dia tidak sempat," katanya yang pulang ke rumah selepas diberitahu oleh anggota keluarganya.

Menurutnya, berikutan kejadian tersebut, dia membuat laporan di Balai Polis Parit Jawa pada pukul 1.50 petang ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohammad Nasir Ramli yang dihubungi hari ini mengesahkan menerima laporan kes tersebut dan siasatan lanjut sedang giat dijalankan.

"Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan helah penjenayah seperti ini dan meminta supaya mana-mana individu yang didapati mencurigakan agar menunjukkan kad kuasa mereka.

"Sebaik-baiknya juga, orang ramai boleh menelefon balai polis berhampiran untuk mendapat pengesahan dan butiran yang sebenar," katanya.

Sabtu, November 21, 2009

Menyelam cari tiram di Sungai Muar tarik pelancong

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

MUAR: Kegiatan menyelam mencari tiram secara tradisional di Sungai Muar, iaitu menyelam ke dasar sungai tanpa menggunakan sebarang peralatan moden kini menjadi tarikan pelancong yang mahu melihat dengan lebih dekat keunikannya.

Kegiatan yang dikatakan bermula sejak 1870-an itu memerlukan seorang nelayan menyelam sedalam lebih lima meter untuk mengutip tiram di dasar sungai dengan menahan nafas antara tiga hingga empat minit.

Keunikan menyelam tiram itu menjadi produk pelancongan agro pelancongan yang kini semakin mendapat sambutan daripada pelancong termasuk Singapura dan Kuala Lumpur yang sanggup datang daripada jauh untuk melihat kegiatan nelayan berkenaan.

Pengerusi Pengurusan Sumber Perikanan Kumpulan Nelayan Parit Tiram, Jelani Laham, berkata setakat ini pihaknya menerima sambutan menggalakkan dan menyambut rombongan pelancong ke pangkalan Nelayan Parit Tiram.

Katanya, pelancong akan dibawa dengan menggunakan bot untuk melihat kegiatan menyelam tiram itu, selain mereka dapat mendapat pengalaman berbeza kerana dapat melihat dekat kegiatan nelayan berkenaan.

"Penyelam tiram yang meneroka dasar Sungai Muar itu perlu memegang batang kayu yang dipacak pada dasar sungai untuk mengelakkan daripada dihanyutkan arus sebelum mengaut tiram dan proses itu dijalankan berulang kali.

"Sebelum ini pelancong tidak pernah melihat bagaimana tiram diperoleh kerana biasanya membeli tiram yang sudah siap diproses dan peluang melihat proses menyelam tiram itu pastinya memberikan pengalaman berharga dan berbeza, " katanya ketika ditemui selepas menyambut rombongan 44 pelancong dari Kuala Lumpur ke program melihat kegiatan menyelam tiram itu.

Katanya, Pangkalan Parit Tiram antara lokasi kegiatan nelayan sungai dan laut yang tertua di daerah ini serta terkenal dengan pengeluaran hasil tiram bermutu tinggi sejak negara belum merdeka, malah mutu tiram yang dikeluarkan dikatakan antara yang terbaik di dunia.

Jelani berkata, sehingga kini terdapat kira-kira 20 penyelam tiram yang masih aktif dengan tumpuan di kawasan berhampiran pangkalan itu walaupun sebenarnya terdapat tiram di kawasan hampir 20 kilometer sepanjang pesisiran Sungai Muar.

Beliau berkata, kegiatan menyelam tiram itu juga bergantung kepada jadual pasang air dan setiap sehari mereka boleh memperoleh 40 kilogram sehingga 50 kilogram tiram yang dijual dengan harga RM25 sekilogram.

Sementara itu pengendali agensi pelancongan, Cheah Kong Chun, berkata pihaknya menerima banyak permintaan untuk melihat kegiatan menyelam tiram Sungai Muar dan tahun ini saja sudah tiga pakej dianjurkan pihaknya membabitkan pelancong dari Kuala Lumpur.

Katanya, melalui pakej itu juga pelancong boleh mencuba keenakan tiram yang berbeza berbanding di pasaran berikutan ia lebih enak dan tidak berbau lumpur walaupun tiram dikutip daripada dasar sungai.

"Hasil maklum balas mendapati ramai pelancong tempatan berminat untuk melihat keunikan menyelam tiram Sungai Muar kerana kegiatan itu tiada di tempat lain, selain itu pelancong juga boleh membeli tiram segar itu yang baru dinaikkan dari sungai," katanya.

Katanya, pihaknya akan terus membawa pelancong untuk melihat kegiatan menyelam tiram itu kerana ia kini menjadi produk eko pelancongan yang berpotensi dan mendapat permintaan.

Jumaat, November 20, 2009

Kawasan rekreasi Tanjung Ketapang kini sepi

Oleh Jamaludin Husin

MUAR: Kawasan rekreasi Tanjung Ketapang di sini, yang dulunya meriah dengan kunjungan orang ramai terutama pada hujung minggu dan cuti umum, kini kini sepi dan lengang sejak sebulan lalu.

Penduduk mendakwa ia disebabkan daya tarikan utama ke tempat itu, iaitu monyet kini tiada lagi selepas ratusan monyet liar yang terdapat di situ dipindahkan ke kawasan hutan Maokil, Pagoh.

Bulan lalu, pihak berkuasa tempatan (PBT) bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memindahkan monyet liar berkenaan ke tempat yang ditetapkan itu.

Langkah memindahkan haiwan itu, bertujuan menjaga kebersihan kawasan rekreasi berkenaan daripada dicemari sampah sarap sama ada bekas plastik dan tin minuman yang bertaburan dalam kawasan hutan bakau di situ, berikutan tindakan orang ramai yang berkunjung membawa makanan dalam karung plastik serta minuman dalam tin untuk diberikan kepada monyet sehingga menyebabkan sampah sarap bertaburan.

Tinjauan ke rekreasi itu mendapati, keadaan kawasan berkenaan sepi dan lengang tanpa pengunjung, walaupun pada cuti hujung minggu selain tidak terdapat seekor monyet sama ada di dalam hutan atau sepanjang jambatan yang dibina di pinggir tebing hingga ke perairan pantai Muar.

Projek menelan kos kira-kira RM200,000 itu pertengahan tahun ini, dibina bertujuan membolehkan pengunjung menyaksikan keindahan semula jadi hutan bakau di tebing sungai Muar itu.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Parit Tarom, Hussin Sudin, 45, berkata tindakan memindahkan monyet liar itu langkah kurang bijak kerana kehadiran monyet di situ menjadi daya tarikan orang ramai untuk berkunjung kerana mereka terhibur dengan telatah haiwan itu, lebih-lebih lagi jika diberikan makanan.

“Walaupun liar, namun haiwan itu tidak pernah mengganggu pengunjung dan setakat ini pun belum ada laporan yang mengatakan ada pengunjung yang menjadi mangsa gigitan monyet ketika berkunjung ke situ.

“Ini kerana haiwan itu bukan saja jinak, tetapi datang mengambil makanan yang diletakkan atas tangan pengunjung termasuk kanak-kanak,” katanya.

Too Heng Teong, 60, dari Bakri, di sini, berkata monyet liar di Tanjung Ketapang bukan saja menjadi tarikan pengunjung tempatan malah dari luar negara termasuk Singapura.

Beliau berkata, setiap kali saudaranya dari republik itu pulang menziarahi keluarganya di bandar ini, mereka tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke kawasan rekreasi Tanjung Ketapang.

“Bagaimanapun apabila mereka mengetahui monyet dalam kawasan hutan itu sudah dipindahkan, mereka membatalkan hasrat untuk berkunjung ke situ ketika mereka balik kampung di Bakri, minggu lalu,” katanya.

Bank Rakyat Muar terima panggilan bom

MUAR: Selepas empat hari Kompleks Mahkamah Tinggi/Sesyen menerima panggilan bom palsu Isnin lalu, pagi ini Bank Rakyat di bandar ini pula menerima panggilan bom.

Panggilan itu diterima operator bank berkenaan dari seorang lelaki kira-kira jam 9.55 pagi ketika 50 kakitangan dan pelanggan berada dalam bank berkenaan (Berita Harian).

MUAR 20 Nov. – Lebih 50 pelanggan dan kakitangan Bank Rakyat cawangan Muar di Jalan Ibrahim di sini gempar dan bertempiaran mengosongkan bangunan selepas cawangan itu menerima satu panggilan ugutan bom kira-kira pukul 9.55 pagi ini.

Panggilan itu dijawab oleh seorang kakitangan bank berkenaan dan polis kemudian bergegas menjalankan pemeriksaan ke atas bangunan berkenaan.

Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Muar turut menerima panggilan bom palsu pada empat hari lalu. – Utusan

Rabu, November 18, 2009

Saman pemandu keras kepala

Oleh Zalifah Mohd Yatim
zalifah@hmetro.com.my

MUAR: Meskipun sudah banyak teguran dikemukakan sama ada oleh orang ramai, polis mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT), perbuatan meletakkan kenderaan sesuka hati di sekitar pusat bandar Muar di sini masih berlaku dan keadaan ini sekali gus menggambarkan sifat keras kepala pemiliknya.

Buktinya, sepanjang dua minggu operasi dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar bermula 26 Ogos lalu, 1,412 saman dikeluarkan atas kesalahan meletak kenderaan sesuka hati di bandar Muar.

Operasi khusus bagi mengenakan tindakan kepada pemilik kenderaan yang gagal mematuhi peraturan meletak kenderaan selepas pihak berkuasa mendapati ia antara punca utama kesesakan lalu lintas di pusat bandar ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, berkata sikap pemandu yang tidak mengendahkan peraturan meletak kenderaan di bandar berkenaan dibuktikan dengan 40 saman dikeluarkan dalam masa tidak sampai tiga jam operasi.

“Sebahagian besar daripada saman yang ditinggalkan pada kenderaan, manakala selebihnya kami menyerahkan terus kepada pemiliknya,” katanya ketika ditemui.

Mohamad Nasir berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan tindakan akan dikenakan mengikut peruntukan undang-undang yang ada bagi mendidik pemandu supaya jangan sekali-kali memandang remeh peraturan dan undang-undang jalan raya.

Katanya, setiap kali menjelang musim perayaan, hujung minggu dan cuti sekolah beberapa jalan seperti Jalan Abdullah, Jalan Maharani, Jalan Arab dan Jalan Salleh berlaku kesesakan lalu lintas.

“Daripada pemerhatian polis, kesesakan lalu lintas di bandar Muar banyak disumbang sikap pemandu yang mementingkan diri sendiri dan degil apabila meletak kenderaan di kawasan yang tidak sepatutnya.

Katanya, walaupun pemantauan dan anggota ditempatkan di lokasi kritikal itu, namun masalah kesesakan lalu lintas di daerah ini tidak akan selesai sekiranya pemandu kenderaan tidak memberikan kerjasama.

“Pemandu tidak seharusnya mementingkan diri dengan meletakkan kenderaan sesuka hati dengan alasan menjalankan urusan dalam masa singkat.

“Kami terpaksa bertindak tegas dengan kedegilan pemandu terbabit,” katanya.

Isnin, November 16, 2009

Bapa dua anak parah diserang

MUAR: Seorang bapa bersama dua anaknya cedera termasuk seorang parah selepas diserang sekumpulan kira-kira 20 lelaki dalam kejadian di rumah mereka di Parit Keroma, Jalan Temenggong Ahmad, di sini kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 10 malam itu dipercayai berlaku berikutan perselisihan faham antara dua keluarga sehingga menyebabkan keluarga mangsa diserang.

Kumpulan yang menyerang bersenjatakan parang dan kayu itu menyebabkan seorang lelaki berusia 60-an cedera ringan manakala dua lagi anaknya yang berusia lingkungan 20-an cedera, termasuk seorang daripadanya dilaporkan parah.

Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa tidur, manakala dua anaknya berada di ruang tamu rumah apabila secara tiba-tiba sekumpulan lelaki memasuki rumah sebelum memukul mereka.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, mengesahkan kejadian itu dan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut termasuk motif sebenar serangan oleh kumpulan lelaki berkenaan.

Katanya, pihaknya sudah mengenal pasti identiti penyerangnya dan usaha dijalankan bagi menahan mereka untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, seorang mangsa masih dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) berikutan kecederaan parah di kepala, manakala dua lagi mangsa yang cedera dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama (Berita Harian).

 

MUAR 15 Nov. - Tiga beranak cedera termasuk seorang daripada mereka parah selepas diserang sekumpulan 20 lelaki bersenjatakan parang dan kayu di rumah mereka di Parit Keroma, Jalan Temenggong Ahmad di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mereka yang mengalami kecederaan adalah seorang lelaki yang dikenali sebagai Tan, berusia lingkungan 60-an serta dua orang anaknya yang berusia lingkungan 20-an.

Seorang lagi anak mangsa yang berusia 30-an berjaya menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan selepas menyembunyikan diri di dalam bilik semasa kejadian itu berlaku.

Difahamkan, anak mangsa yang mengalami kecederaan parah dipukul berulang kali di kepala dan lehernya dan kini masih dirawat di hospital.

Bagaimanapun Tan dan seorang lagi anaknya hanya cedera ringan di bahagian tubuh dan tangan.

Kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada perselisihan faham yang berlaku antara keluarga mangsa dan kumpulan penyerang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian tersebut.

Beliau berkata, polis telah mengenal pasti identiti suspek dalam kejadian itu dan kini berusaha untuk memberkas mereka.

(Utusan Malaysia)

Ahad, November 15, 2009

Polis Muar tahan perompak remaja

Oleh JUNITA MAT RASID
am@hmetro.com.my

polismuar01

CEKAP... Mohamad Nasir (tengah) menunjukkan rantai emas
yang ditemui daripada seorang remaja yang ditahan
dalam satu kes samun di Jalan Bendahara, Muar.

MUAR: Tindakan seorang remaja berusia 16 tahun merompak wang tunai dan barangan kemas bernilai kira-kira RM6,000 dari rumah jirannya di Jalan Bendahara, di sini, ketika mangsa keluar ke surau untuk menunaikan solat Subuh, membawa padah apabila dia ditahan kira-kira empat jam kemudian.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi ketika wanita berusia 69 tahun itu baru keluar rumah untuk ke surau berhampiran dan hanya menyedarinya apabila pulang kira-kira sejam kemudian dan mendapati pintu rumahnya terkopak akibat dipecah masuk.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, berkata polis yang menerima laporan kejadian itu terus menjalankan operasi sebelum berjaya mengesan dan menahan suspek yang tinggal berhampiran rumah mangsa, kira-kira jam 9 pagi.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut di rumah suspek itu, polis menemui semula barang kemas dan wang tunai milik mangsa.

“Suspek yang tidak bersekolah dan tinggal berhampiran rumah mangsa mengambil kesempatan ketika warga emas berkenaan tiada di rumah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini, semalam.

Beliau berkata, remaja itu kini ditahan untuk siasatan lanjut dan pihaknya juga menyiasat kemungkinan suspek terbabit dalam kes jenayah lain.

Dalam kes lain, Mohamad Nasir berkata, polis turut menahan tiga remaja berusia antara 17 dan 18 tahun selepas dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya 18 kes samun serta ragut bersenjatakan pisau di sekitar daerah ini.

Beliau berkata, seorang remaja berusia 17 tahun ditahan di rumahnya di Parit Punggur, Jalan Temenggong Ahmad, oleh pasukan khas cegah jenayah IPD Muar, kira-kira jam 7.30 pagi kelmarin, susulan penahanan dua rakannya pada 29 November lalu.

“Remaja yang tidak bersekolah dan tiada pekerjaan tetap itu mengaku melakukan 18 kes samun dan ragut di sekitar daerah ini, malah turut menggunakan pisau, topi keledar dan kayu untuk menakutkan mangsa,” katanya.

Mohamad Nasir berkata, pasukan sama turut menahan empat lelaki warga Indonesia dan seorang warga tempatan selepas dipercayai terbabit dalam beberapa kes pecah rumah yang dilaporkan di sekitar Parit Jawa dalam operasi di pekan itu, kira-kira jam 8 pagi semalam.

Sementara itu, dalam operasi berasingan Khamis lalu, polis turut menahan dua lelaki dan seorang wanita yang dipercayai terbabit dalam kejadian mencuri kabel telefon di sekitar Bakri, terutama di rumah lama.

Katanya, lelaki berusia 33 tahun dan 19 tahun serta wanita berusia 21 tahun itu ditahan ketika menaiki sebuah motosikal yang dipenuhi dengan kabel telefon dan peralatan memotong kabel, di Lorong Kim Kee, Jalan Lama, kira-kira jam 2.30 petang.

Ahad, November 08, 2009

Anakmuar @ Facebook dalam pembikinan

PAGE_NAME on Facebook

Ahad, September 27, 2009

Tentera maut diseret 5 kilometer di Muar

Oleh ZALIFAH MOHD YATIM zalifah@hmetro.com.my

MUAR: Seorang anggota tentera mati dalam keadaan mengerikan apabila tersangkut di bawah kenderaan pacuan empat roda sebelum diseret sejauh lima kilometer di Kilometer 136 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke utara dekat sini, pagi semalam.

Dalam kemalangan langgar lari kira-kira jam 4.15 pagi, Mohd Nor Ikmallizam Hamzah, 24, yang bertugas di Bahagian Semboyan di Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur, dalam perjalanan dari Kota Tinggi ke Seremban dengan menunggang motosikal jenis Yamaha.

Mangsa yang menyambut Aidilfitri di rumah ibunya di Pengerang, Kota Tinggi, sepatutnya singgah di rumah bapanya di Negeri Sembilan sebelum balik ke Kuala Lumpur untuk mula bertugas esok. Teman wanita mangsa, Nur Fatin Sulaiman, 20, berkata Allahyarham yang menyambut Aidilfitri di Pengerang sempat singgah di rumah keluarganya di bandar Kota Tinggi, malam kelmarin.

Katanya, Ikmal bertolak selepas jam 12 tengah malam dan sejam sebelum terbabit dalam kemalangan, dia ada menelefon memaklumkan sudah sampai di Hentian Rehat dan Rawat di Machap kira-kira jam 3 pagi.

“Arwah memaklumkan dia sampai di Machap dan menyuruh saya sambung tidur... tidak sangka pula sejam kemudian dia terbabit dalam kemalangan maut,” katanya ketika ditemui di perkarangan Rumah Mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah, di sini, semalam.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Lee Choon Guan, berkata mangsa dipercayai terjatuh selepas dilanggar lari kenderaan berat, dipercayai lori, di tempat kejadian.

Katanya, selepas terjatuh, sebuah kenderaan pacuan empat roda yang didaftarkan di Thailand tanpa menyedari menyeret mayatnya sejauh kira-kira lima kilometer.

Beliau berkata, mayat mangsa tersangkut di bawah kenderaan itu hanya disedari pemandunya apabila beberapa kenderaan lain membunyikan hon memaklumkan kemalangan ngeri itu.

“Dalam siasatan dijalankan, ada kesan brek kenderaan berat di kilometer 136 iaitu tempat motosikal mangsa ditemui.

“Mayat mangsa yang hancur beberapa bahagian ditemui tersangkut di bawah kenderaan pacuan empat ronda kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian awal,” katanya.

Pihaknya kini menjejaki kenderaan berat dipercayai lori yang terbabit dalam kemalangan langgar lari bagi membantu siasatan. Orang ramai yang ada maklumat diminta hubungi Ketua Bahagian Ketenteraman Awan dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Muar, Asisten Superintendan Suhaimi Ahmad atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Rahman Remi di talian 06-9526222 bagi membantu siasatan.

Rabu, September 23, 2009

Gagal curi kereta di Muar

Oleh Zalifah Mohd Yatim
zalifah@hmetro.com.my

MUAR: Tindakan seorang lelaki dipercayai di bawah pengaruh dadah melarikan diri selepas mencuri sebuah kereta gagal apabila kenderaan curi dipandunya itu melanggar lima kereta dan dua motosikal sebelum dia ditahan polis berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Muar di Jalan Salleh, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, lelaki berusia lingkungan 40-an itu dipercayai mencuri sebuah kereta lama di Jalan Sungai Abong di sini, sebelum cuba melarikan diri, tetapi gagal memandu dengan betul kerana disyaki berada di bawah pengaruh dadah.

Keadaan itu menyebabkan lelaki berkenaan yang memandu laju dan melulu merempuh lima kereta termasuk sebuah teksi serta dua motosikal ditunggangi dua wanita hingga menyebabkan kedua-dua mangsa cedera parah dan terpaksa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.

Selepas mencuri kereta berkenaan, suspek dipercayai sempat memandu sejauh dua kilometer menuju ke Jalan Salleh dan dalam perjalanan itu, dia dikatakan merempuh tiga kereta lain.

Apabila tiba di Jalan Salleh, kereta berkenaan yang dikatakan dipandu melawan arus merempuh dua kereta lain sebelum melanggar dua motosikal dinaiki dua wanita berusia 20-an.

Suspek kemudian membuat pusingan U dalam usaha untuk melarikan diri, namun kereta berkenaan dikatakan terhenti berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Muar sebelum dia ditahan anggota polis yang mengejarnya.

Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Jaffar Anwar, 30-an, berkata ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari Sungai Abong ke Melaka.

“Ketika memandu, tiba-tiba saya melihat sebuah kereta yang datang dari arah belakang dipandu laju dan berbahaya menyebabkan saya cuba mengelak, namun tidak sempat.

“Selepas bahagian belakang kereta saya dirempuh, pemandu kereta itu meneruskan perjalanan dengan memandu ke kiri dan ke kanan sebelum ke bahagian tengah jalan dari Sungai Abong ke Jalan Salleh selain turut memandu melawan arus apabila tiba di Jalan Salleh.

“Saya mengekori kereta itu dan dapat melihat beberapa kenderaan lain termasuk sebuah teksi turut dilanggar kereta berkenaan di Sungai Abong sebelum menuju ke simpang berhampiran HPSF di Jalan Salleh menghala ke pusat bandar,” katanya.

Menurutnya, kenderaan yang dipandu laju itu hanya berhenti selepas melanggar beberapa kereta lagi serta dua motosikal di Jalan Salleh sebelum pemandunya ditahan pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, setakat ini pihaknya menerima lima laporan daripada pemilik kereta dan dua motosikal yang terbabit dalam kemalangan itu.

“Polis meminta saksi bebas tampil memberikan keterangan bagi membantu siasatan dengan menghubungi Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Superintendan Suhaimi Ahmad serta Pegawai Penyiasat, Inspektor Ridwan,” katanya.

Jumaat, September 18, 2009

Polis Muar turun padang

polismuar

Mohammad Nasir Ramli bertemu dengan orang ramai bagi memberi penerangan mengenai Kempen Rumah Selamat dan Kempen Keselamatan Jalan Raya di Hentian Bas Bentayan, Muar, baru-baru ini.

MUAR 17 Sept. - Polis Muar mengambil langkah turun padang dengan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai Kempen Rumah Selamat dan Kempen Keselamatan Jalan Raya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri hujung minggu ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohammad Nasir Ramli berkata, kempen dari premis ke premis di sekitar bandar ini melibatkan 10 pegawai yang turut mengedarkan risalah-risalah keselamatan.

"Dengan hari raya yang semakin hampir, penting untuk pihak polis memberi nasihat kepada orang ramai sebelum pulang ke kampung masing-masing.

"Langkah turun padang untuk bertemu sendiri dengan masyarakat ini merupakan yang terbaik kerana kami dapat melihat secara terus maklum balas daripada orang ramai," katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Mohammad Nasir, pendekatan itu akan diteruskan sehingga menjelang sambutan hari raya supaya orang ramai peka mengenai aspek keselamatan.

"Pada masa yang sama, kami berharap para pemandu akan memandu secara lebih berhati-hati dan menghormati undang-undang jalan raya.

"Bagi mereka yang pulang ke kampung, mereka boleh mengisi Borang Kempen Rumah Selamat dan menghantarnya ke balai polis berhampiran supaya kami dapat mengawasi rumah mereka," katanya.

Tambanya, matlamat pihak polis ialah memastikan indeks jenayah dapat diturunkan ke tahap yang lebih rendah dan tahap keselamatan dapat terus dipertingkatkan.

Pemandu Muar keras kepala?

Oleh Zalifah Mohd Yatim
zalifah@hmetro.com.my

MUAR: Meskipun sudah banyak teguran dikemukakan sama ada oleh orang ramai, polis mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT), perbuatan meletakkan kenderaan sesuka hati di sekitar pusat bandar Muar di sini masih berlaku dan keadaan ini sekali gus menggambarkan sifat keras kepala pemiliknya.

Buktinya, sepanjang dua minggu operasi dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar bermula 26 Ogos lalu, 1,412 saman dikeluarkan atas kesalahan meletak kenderaan sesuka hati di bandar Muar.
Operasi khusus bagi mengenakan tindakan kepada pemilik kenderaan yang gagal mematuhi peraturan meletak kenderaan selepas pihak berkuasa mendapati ia antara punca utama kesesakan lalu lintas di pusat bandar ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, berkata sikap pemandu yang tidak mengendahkan peraturan meletak kenderaan di bandar berkenaan dibuktikan dengan 40 saman dikeluarkan dalam masa tidak sampai tiga jam operasi.

“Sebahagian besar daripada saman yang ditinggalkan pada kenderaan, manakala selebihnya kami menyerahkan terus kepada pemiliknya,” katanya ketika ditemui.

Mohamad Nasir berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan tindakan akan dikenakan mengikut peruntukan undang-undang yang ada bagi mendidik pemandu supaya jangan sekali-kali memandang remeh peraturan dan undang-undang jalan raya.

Katanya, setiap kali menjelang musim perayaan, hujung minggu dan cuti sekolah beberapa jalan seperti Jalan Abdullah, Jalan Maharani, Jalan Arab dan Jalan Salleh berlaku kesesakan lalu lintas.

“Daripada pemerhatian polis, kesesakan lalu lintas di bandar Muar banyak disumbang sikap pemandu yang mementingkan diri sendiri dan degil apabila meletak kenderaan di kawasan yang tidak sepatutnya”.

Katanya, walaupun pemantauan dan anggota ditempatkan di lokasi kritikal itu, namun masalah kesesakan lalu lintas di daerah ini tidak akan selesai sekiranya pemandu kenderaan tidak memberikan kerjasama.

“Pemandu tidak seharusnya mementingkan diri dengan meletakkan kenderaan sesuka hati dengan alasan menjalankan urusan dalam masa singkat.
“Kami terpaksa bertindak tegas dengan kedegilan pemandu terbabit,” katanya.

Selasa, September 15, 2009

Kerajaan bantu belia Orang Asli

MUAR 14 Sept. - Kerajaan memandang serius masalah pengangguran membabitkan golongan belia Orang Asli dan pelbagai usaha kini dilakukan untuk membantu mereka.

Senator Osman Bungsu berkata, Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) sedang merangka program latihan pekerjaan kepada golongan itu yang dijangka bermula bulan depan.

"Masalah pengangguran di kalangan belia Orang Asli memang kritikal, ditambah pula, mereka merangkumi 40 peratus daripada jumlah 141,000 Orang Asli di negara ini.

"Matlamat utama kerajaan adalah untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan ini seterusnya dapat mengeluarkan keluarga mereka daripada kelompok miskin tegar," katanya pada majlis berbuka puasa di Kampung Orang Asli Tambak Dapor, Pagoh di sini baru-baru ini.

Menurut Osman, latihan pekerjaan yang ditawarkan dalam jangka pendek dan panjang itu melibatkan sektor pertanian, penternakan, perikanan serta perkhidmatan pelancongan.

Sabtu, September 12, 2009

4 lelaki dihukum gantung di Muar

MUAR 11 Sept. - Empat lelaki dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah membunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemui dalam keadaan lehernya dikelar, tujuh tahun lalu.

Hakim Datuk Jeffrey Tan Kok Wha menjatuhkan hukuman tersebut terhadap pemandu teksi, S. Manikumar, 41; penghantar barang, B. Anand Nambiar, 26; penjual minuman keras, N. Mohan, 42, dan penarik kereta, A. Easwaran Muthu, 40.

Mereka didapati membunuh Heng Pang Kiat, 39, di tepi jalan Kilometer 31.5 Jalan Kota Tinggi-Kluang di antara pukul 12.01 tengah malam dan 2 pagi, 21 Februari 2002.

Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut dengan seorang lagi tertuduh, Foo Sam Ming @ Poo Sin Min yang telah mati pada 21 Mac 2002.

Keempat-empat mereka juga dihukum penjara 20 tahun setelah didapati bersalah atas satu lagi tuduhan iaitu menyebabkan kecederaan terhadap bekas jurubahasa mahkamah di Kuala Lumpur, Chong Chiew Nam @ Ching Chee Wah, 46.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun tersebut, mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Kilometer 8 Jalan Kota Tinggi-Kluang pada waktu dan hari yang sama.

Hakim Kok Wha menjatuhkan hukuman tersebut selepas mendapati pihak peguam bela gagal mengemukakan sebarang keraguan munasabah berhubung kes tersebut.

Polis pantau kegiatan pekerja Indonesia

MUAR 11 Sept. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memantau kegiatan para pekerja Indonesia di negara ini sebagai langkah pencegahan membendung usaha segelintir pihak yang cuba mengambil kesempatan berikutan sentimen anti-Malaysia baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, beliau yakin keselamatan negara berada dalam keadaan terjamin dan kekecohan yang berlaku akibat demonstrasi anti-Malaysia di Indonesia tidak akan menjejaskan ketenteraman negara.

''Alhamdulillah, saya merasakan rakyat Malaysia masih rasional dan tidak akan terjerumus dalam perangkap ini.

''Pihak polis juga sedang memantau pekerja-pekerja Indonesia supaya tidak mengambil kesempatan daripada perkara ini sehingga boleh timbul isu yang menjejaskan keselamatan,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Ops Sikap Ke-20 Peringkat Kebangsaan 2009 di Dataran Tanjung Emas di sini hari ini.

Baru-baru ini, segelintir rakyat Indonesia yang menggelar diri mereka Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) melakukan sweeping (sapu) ke atas rakyat Malaysia.

Menurut Musa, beliau telah berhubung dengan Ketua Polis Republik Indonesia (Kapolri), Jeneral Bambang Hendarso Danuri kelmarin dan jaminan keselamatan rakyat Malaysia di negara berkenaan telah diberikan.

''Dia (Jeneral Bambang) beritahu perbuatan yang berlaku adalah daripada segelintir kumpulan kecil di Indonesia dan sehingga kini, enam orang telah ditahan akibat kegiatan 'sapu Malaysia' ini.

''Isu ini sebenarnya merupakan perkara kecil namun telah diperbesar-besarkan secara meluas oleh pihak media di Indonesia,'' katanya.

Ahad, Ogos 30, 2009

Maut balik nak bersahur

Oleh Zalifah Mohd Yatim

MUAR: Kedua-duanya dalam perjalanan balik ke rumah masing-masing untuk bersahur, namun seorang mekanik dan seorang rakannya terbunuh apabila motosikal ditunggang mereka bertembung sesama sendiri di kawasan gelap dan jalan tidak rata di Jalan Sri Tanjung, Bakri di sini, awal pagi semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 2 pagi, mekanik terbabit, Fairus Hakimi Salleh, 24, dan Khairi Ismail, 22, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan dalaman badan sebelum mayat mereka dihantar ke Rumah Mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk dibedah siasat dan dituntut waris masing-masing, kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

Ibu saudara Fairus Hakimi, Delima Mohamad, 41, berkata anak saudaranya itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kilometer 8, Jalan Salleh untuk bersahur selepas selesai bekerja di bengkel.

Menurutnya, arwah Fairus mengusahakan bengkel membaiki kereta di Parit Bakar dan sejak awal Ramadan lalu, dia lebih selesa menyelesaikan kerjanya pada waktu malam.

“Sejak bulan puasa, arwah jarang ke bengkel pada siang hari kerana lebih selesa bekerja pada waktu malam. Kebiasaannya, selepas solat terawih, arwah ke bengkel membaiki kereta pelanggan dan pulang ke rumah sekitar jam 2.30 pagi untuk bersahur bersama keluarganya ataupun di rumah saya yang terletak di belakang rumahnya.

“Arwah memang rapat dengan saya sekeluarga tetapi tidak sangka hasratnya balik bersahur tidak kesampaian apabila motosikalnya bertembung dengan sebuah motosikal lain ditunggang kenalannya sendiri.

“Kedua-dua mereka memang berkawan rapat dan tidak sangka mereka menemui ajal ketika masing-masing dalam perjalanan balik bersahur dan ternyata Allah lebih menyayangi mereka,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat HPSF di sini.

Delima berkata, rakan anak saudaranya itu difahamkan dalam perjalanan balik ke rumahnya di Parit Amal selepas berjumpa kenalan lain sebelum kemalangan berlaku di kawasan gelap dan jalan tidak rata.

Menurutnya, ketika menerima panggilan telefon daripada kakaknya yang juga ibu kepada Fairus Hakimi, Nilam, 44, kira-kira jam 2.15 pagi, dia hanya dimaklumkan arwah pengsan selepas terbabit dalam kemalangan tetapi panggilan kedua diterimanya menyatakan anak saudaranya meninggal dunia.

Katanya, jenazah anak kedua daripada tiga beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam simpang Jalan Naib Piee di sini, petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, berkata dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Jalan Sri Tanjung, Bakri.
Beliau berkata, penunggang motosikal terbabit bertembung sesama sendiri menyebabkan kedua-duanya meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Rumah Mayat HPSF untuk dibedah siasat sebelum dituntut waris masing-masing.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Pengawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Muar, Inspektor Rahman Remi di talian 06-9526222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Khamis, Ogos 27, 2009

Ledang – Kabel terbakar di jambatan

LEDANG 26 Ogos - Seramai 6,500 pengguna talian Telekom Malaysia (TM) dan talian Internet TM Net Streamyx di daerah Ledang terputus rangkaian selepas berlakunya kebakaran pada kabel sepanjang kira-kira 35 meter di tepi Jambatan Sultan Ismail di sini semalam.

Kawasan yang terjejas akibat kejadian kira-kira 7.20 malam itu merangkumi Tanjung Agas, Sungai Mati, Bukit Gambir, Parit Bunga, Serom dan Pekan Rawang.

Kejadian kebakaran itu telah memusnahkan 12 kabel talian telefon dan Internet bernilai lebih RM200,000 dan dipercayai punca kejadian adalah daripada api sampah di kawasan sekitar.

Menurut Jurucakap TM, pihaknya sedang bertungkus lumus membaiki kerosakan kabel tersebut dan seramai 20 kakitangan termasuk pekerja syarikat kontraktor telah dikerah sejak pukul 8 malam semalam.

"Kami menjangkakan kabel fiber optik untuk talian Internet dapat dipulihkan sepenuhnya hari ini namun bagi kabel talian telefon, dijangka dapat disiapkan selewat-lewatnya pada Sabtu ini," katanya.

Beliau memberitahu, kerja-kerja membaiki kerosakan tersebut dijalankan berterusan dan usaha sedang dilaksanakan bagi memperbaiki kerosakan secara berperingkat-peringkat terutamanya di kawasan perindustrian di Tanjung Agas.

"Semua pelanggan diharap dapat memberikan kerjasama dan bersabar menanti talian telefon dan internet disambung semula di kawasan masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Ismail Mahmod berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 7.24 malam semalam berhubung kebakaran kabel di kawasan jambatan itu.

''Kebakaran pada bahan fiber itu menyebabkan asap tebal namun keseluruhan operasi dapat dijalankan dengan lancar dan kami berjaya mengelakkan kesesakan lalu lintas yang lebih teruk di kawasan jambatan," katanya.

Beliau memberitahu, dengan kekuatan dua jentera bomba dan 14 anggota, pihaknya mengambil masa 30 minit untuk memadam sepenuhnya kebakaran.

Sabtu, Ogos 22, 2009

Nik Aziz perlu bertaubat - Muhyiddin

MUAR 20 Ogos – Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan Mursidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar bertaubat ekoran kesilapannya mendakwa penyokong UMNO tidak akan masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu.

Menurutnya, dari segi ajaran Islam, seseorang yang melakukan sesuatu kesalahan perlu meminta ampun daripada Allah SWT.

"Sepatutnya, biasanya orang yang bersalah dia kena bertaubat dari segi agama, dia mesti bertaubat

kerana melakukan kenyataan itu satu kesalahan, dia kena minta maaf bukan dengan kita tetapi dengan Allah kerana

itu asas yang diguna pakai bila fatwa telah diputuskan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas beramah mesra dengan penduduk dan menikmati jamuan tengah hari di Gerai Makan Bukit Kepong di Pagoh di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Abdul Shukor Husin berkata, kenyataan Nik Abdul Aziz bahawa penyokong UMNO tidak akan masuk syurga adalah menyeleweng daripada ajaran Islam.

Abdul Shukor berkata, ia adalah selaras ketetapan yang dibuat oleh oleh jawatankuasa itu pada 2000 iaitu ketentuan seseorang Islam memasuki syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah.

Kata Anakmuar:

Kagum dengan Majlis Fatwa Kebangsaan yang pantas memberikan reaksi berhubung kenyatan Nik Aziz. Sebagai ‘orang biasa’ dan sebagai orang Islam yang belum sampai ke tahap seorang Tok Guru, aku memang terkeliru dengan kenyataan Nik Aziz tersebut.

Jumaat, Ogos 21, 2009

Mutaah RM5 Juta

Oleh Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my

mainpix (1)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam, membenarkan bekas isteri Ahli Jawatankuasa Umno bahagian Muar, Datuk Kadar Shah Sulaiman Ninam Shah, menuntut haknya termasuk nafkah mutaah RM5 juta serta edah RM60,000.

Hakim Syarie, Abdul Shukor Abd Hamid dalam keputusannya membenarkan Fauziah Haron, 53, (plaintif) meneruskan permohonan untuk menutut mutaah, edah, nafkah tertunggak dan harta sepencarian hasil perkahwinannya dengan Kadar Shah, 62.

Fauziah yang diwakili peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzaman hadir di mahkamah, manakala Kadar Shah yang diwakili peguam syarie Sulaiman Abdullah, tidak hadir atas alasan berada di luar negara.

Terdahulu, Abdul Shukor dalam keputusannya menolak bantahan Kadar Shah terhadap permohonan itu yang mendakwa mahkamah berkenaan tidak mempunyai bidang kuasa serta Fauziah tidak mempunyai ‘locus standi’ dalam isu terbabit.

Beliau berkata Mahkamah Tinggi Syariah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes itu mengikut Seksyen 46 Akta Pentadbiran Islam 1993 kerana perkara yang membabitkan hal ehwal orang Islam hanya boleh diputuskan di situ.

“Plaintif juga boleh membawa kes ini di sini kerana tinggal di Kuala Lumpur. Bagi isu locus standi, plaintif mempunyai hak untuk dapatkan keadilan dan membawa kesnya.

“Mahkamah dapati ada locus standi kerana selepas 27 tahun perkahwinan, kedua-dua pihak dengan suci hati terima bahawa antara mereka wujud ikatan yang sah walaupun didapati ‘fasid’ oleh mahkamah rendah,” katanya.

Sementara itu Sulaiman memohon semua prosiding di Mahkamah Tinggi Syariah digantung sehingga selesai rayuan keputusan bantahan itu.

Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan itu dan menetapkan 5 November ini untuk perbicaraan.

Kadar Shah yang juga Ketua Umno cawangan Bandar Muar dan Fauziah mendakwa berkahwin pada 20 Januari 1980 di Jakarta Timur, Indonesia, dan dikurniakan tiga cahaya mata.

Kamar Ainiah ketika ditemui di luar mahkamah berkata, perkahwinan anak guamnya tidak dapat didaftarkan berikutan ketiadaan saksi dan dokumen dapat dikemukakan di mahkamah kerana ia sudah lama.

“Plaintif mahu mengemukakan permohonan fasakh terhadap defendan, tetapi ia tidak dapat dilakukan kerana perkahwinan mereka perlu didaftarkan terlebih dulu. Bagaimanapun, kedua-dua pihak mengaku wujud perkahwinan itu.

“Anak guam saya membuat tuntutan mutaah, edah, wang yang diserahkan kepada defendan sebanyak RM1.8 juta serta nafkah tertunggak dari November 2002 hingga November 2007 berjumlah RM600,000,” katanya.

Plaintif juga menuntut hutang defendan RM250,000 dengannya iaitu bayaran kereta yang bekas suaminya berjanji mahu selesaikan serta unit saham bernilai RM1.5 juta.

Fauziah juga menuntut harta sepencarian mereka termasuk kondominium di Genting Highlands, rumah di Bukit Jelutong, apartmen di Hawaii dan Los Angeles, Amerika Syarikat selain sebuah Mercedes Benz, Porsche dan Ferrari.

Kata Anakmuar:

Kes ini boleh menjadi pengajaran kepada pasangan yang bernikah di luar negara agar segera mendaftarkan perkahwinan mereka. Jika tidak, ia mungkin akan menimbulkan kesulitan di kemudian hari.

‘Vespa teman hidup saya’

Oleh Jamaludin Husin
am@hmetro.com.my

MUAR: Jika irama dikaitkan dengan lagu dan kumbang pula dengan bunga, maka Haron Idris, seorang warga emas berusia 92 tahun dikaitkan dengan Vespa kesayangannya yang berusia hampir 40 tahun.

Sejak membelinya daripada seorang kenalan sekitar 1960-an dengan harga kira-kira RM300, Haron mengibaratkan kenderaan roda dua buatan Itali menjadi kegilaan golongan muda selepas Perang Dunia Kedua itu sebagai ‘teman’ hidupnya.

Bagi Haron, memiliki badan sihat pada usia emas dan sebuah Vespa tidak meragam sesuatu yang menceriakan kehidupannya kerana banyak membantunya melakukan tugas harian seperti ke kedai dan bersiar-siar sekitar Kampung Jeram, Bukit Batu, Bakri, di sini.

Menurut pesara polis yang berkhidmat di bawah pemerintahan British antara 1940 hingga 1956 itu, dia sentiasa memastikan Vespanya sentiasa dalam keadaan baik terutama enjin.

“Walaupun usia Vespa saya hampir separuh usia saya, namun kenderaan itu masih elok dan tidak pernah rosak besar. Cuma ada beberapa komponen rosak diganti bagi memastikan enjin sentiasa lancar dan mudah dihidupkan pada waktu pagi,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Kini, Haron yang mempunyai empat anak, 14 cucu dan 11 cicit itu boleh bergerak lebih jauh dengan menunggang kenderaan kesayangannya itu apabila mendapat Lesen P daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sempena Program Bertemu Pelanggan JPJ di Pagoh, baru-baru ini.

H1N1 : Semak polisi insurans – TPM

Oleh SAHBULAH DARWI
dan KAMIL MASLIH
Utusanjohor@utusan.com.my

MUAR 20 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu syarikat-syarikat insurans menyemak semula polisi dan terma perjanjian bagi memastikan pesakit selesema babi atau influenza A (H1N1) diberi perlindungan sewajarnya.

Katanya, langkah itu termasuk meneliti secara jelas jenis-jenis penyakit yang dilindungi atau dibayar dan menjelaskan sama ada H1N1 dikecualikan atau tidak.

“Ketua Pengarah Bahagian Insurans (Kementerian Kewangan) boleh menyemak dan sewajarnya berbincang dengan syarikat-syarikat insurans mengenai perkara ini,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas beramah mesra dengan penduduk dan menikmati jamuan tengah hari di Bukit Kepong di sini hari ini.

Beliau mengulas ruangan Cuit disiarkan Utusan Malaysia hari ini yang mempertikaikan keengganan syarikat insurans memberi perlindungan kepada penghidap H1N1 walaupun kerajaan dan pelbagai pihak bertungkus-lumus memainkan peranan membendungnya daripada menular.

Ruangan tersebut mempersoalkan peranan syarikat terbabit dalam menunaikan tanggungjawab sosialnya apabila menolak surat jaminan pesakit dengan alasan H1N1 di bawah kategori yang tidak dilindungi syarikat.

Muhyiddin berkata, langkah menyemak semula itu penting kerana ia boleh memberi penjelasan kepada orang ramai sama ada penyakit tersebut dilindungi.

‘‘Sebenarnya sakit ini biasanya selesema tahap rendah dan bukannya teruk seperti yang lebih serius macam kanser dan banyak kes disebut mati bukan kerana H1N1 tetapi kerana penyakit kronik lain.

‘‘Maka saya percaya syarikat insurans boleh memberi penjelasan adakah wajar ia tertakluk dalam perjanjian,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, walaupun situasi H1N1 di seluruh negara ketika ini menampakkan sedikit pemulihan namun ia tidak boleh dibuat kesimpulan bahawa wabak itu akan berakhir pada tempoh tertentu.

“Kita sentiasa bersedia, walaupun situasi sekarang bertambah baik tetapi wabak yang melibatkan 170 negara ini sukar hendak ditentukan sama ada akan berakhir dalam tempoh enam bulan atau setahun,’’ jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, langkah-langkah pencegahan akan diteruskan dan diperketatkan.

Kata Anakmuar:

Nampaknya apa yang diperkatakan oleh Tan Sri Muhyiddin didengar oleh 16 institusi insurans negara ini. Alhamdulllah kerana pihak insurans bersedia menerima tuntutan berhubung dengan H1N1 samada untuk kematian atau perubatan.

Selesaikan masalah rakyat - Muhyiddin

MUAR 20 Ogos - Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu pendekatan turun padang di kalangan pemimpin kerajaan dan wakil rakyat dilakukan dengan cara yang lebih berkesan dalam menyelesaikan masalah rakyat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka yang terlibat perlu lebih kreatif termasuk melakukan banyak lawatan mengejut atau tinjauan tidak formal untuk mengetahui masalah sebenar di peringkat akar umbi.

Melalui cara itu katanya, pemimpin dapat melihat sendiri masalah yang berlaku dan menyelami fikiran rakyat kerana pendekatan tersebut selaras dengan Gagasan 1Malaysia 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Pendekatan yang diperlukan bukanlah hanya lawatan tinjauan tetapi lawatan penyelesaian yang dapat merapatkan lagi hubungan dengan rakyat dan kalau ini dilakukan maka sudah tentu rakyat mengetahui kesungguhan kepimpinan kita.

"Kalau lawatan mengikut jadual biasanya semua nampak cantik dan ok, tetapi kalau lawatan mengejut maka baru kita dapat tahu apa sebenarnya yang berlaku," katanya pada sidang akhbar selepas beramah mesra dengan penduduk di Gerai Makan Majlis Perbandaran Muar (MPM) Bukit Kepong di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menyarankan para pemimpin kerajaan menyusun jadual turun padang serta membuat lawatan mengejut dari semasa ke semasa bagi lebih mengetahui keadaan sebenar.

"Pendekatan walkabout ini bukan hanya boleh dibuat oleh pimpinan kerajaan tetapi juga pemimpin masyarakat dan pemimpin parti yang telah diberikan jawatan," katanya.

Dalam rangka lawatan hari ini di sekitar Parlimen Pagoh, Muhyiddin meninjau pelbagai masalah yang dihadapi para penduduk di kawasannya terutama yang berkait rapat dengan infrastruktur awam.

Menurut Muhyiddin, pelbagai perkara akan diperincikan hasil input lawatan berkenaan termasuk pembangunan Muzium Bukit Kepong yang tertangguh sekian lama.

Selain itu, beliau juga akan berusaha supaya penduduk di Felcra Bukit Kepong dapat menikmati bekalan air lebih bersih kerana selama ini mereka terpaksa bergantung pada bekalan air yang ditapis dari sungai.

Muhyiddin juga mengambil kesempatan melawat tapak projek jalan pintas antara Lenga ke Bukit Kepong, meninjau permasalahan penduduk di Kampung Penchu, Kampung Parit Bekok, Parit Pelampong dan bermesra dengan masyarakat Cina di mukim Gersik serta masyarakat India di pekan Pagoh.

Kampus ASTRO di Pagoh?

MUAR 20 Ogos - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendidikan negara perlu direvolusikan menerusi penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi membina modal insan yang berfikiran lebih kreatif dan inovatif.

Menurutnya, kemajuan teknologi terkini mampu menambah baik keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran serta merapatkan jurang digital antara sekolah bandar dan luar bandar.

"Melalui cara ini kita bukan sahaja dapat menampilkan pembaharuan dalam kaedah pembelajaran tetapi juga membuka gerbang pengetahuan yang luas kepada murid yang seterusnya menggalakkan pembinaan pemikiran kreatif dan inovatif,"katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika melancarkan Kampus ASTRO Bersama Komuniti Sekolah bagi Semenanjung Malaysia di Kompleks Sukan Pagoh di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dan Pengerusi ASTRO, Datuk Badri Masri.

Muhyiddin berkata, revolusi tersebut boleh dilaksanakan dengan kerjasama erat antara kerajaan dengan sektor swasta yang mempunyai kepakaran serta bersedia menunaikan tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat.

"Lebih-lebih lagi dengan kepesatan kemajuan teknologi, sebenarnya banyak syarikat swasta yang boleh tampil membantu kerajaan untuk meningkatkan akses kepada pendidikan serta menambah baik keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran," jelasnya.

Beliau berkata, ia penting untuk pembangunan dan kemajuan negara kerana dalam ekonomi berasaskan pengetahuan hari ini, kemajuan sesebuah negara tidak lagi dinilai daripada segi pemilikan sumber asli atau modal fizikal yang banyak.

Menurutnya, kemajuan kini diukur daripada segi keupayaan negara melahirkan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi yang seterusnya mampu untuk memacu kemajuan negara melalui penciptaan dan inovasi.

Justeru, Muhyiddin amat mengalu-alukan penglibatan ASTRO yang bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran bagi menyediakan kemudahan satelit bagi membolehkan saluran TV Pendidikan dipancarkan ke sekolah-sekolah di kawasan pedalaman di seluruh negara.

Menurutnya, kemudahan itu amat berguna khususnya di Sabah dan Sarawak yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan siaran televisyen biasa.

"Dengan kemudahan ini, hasrat kerajaan untuk merapatkan jurang digital antara sekolah bandar dan luar bandar akan dapat tercapai," katanya.

Sementara itu, Badri berkata, Program Kampus ASTRO Bersama Komuniti Sekolah melibatkan peruntukan RM30 juta dalam tempoh tiga tahun bagi menyediakan alat dekoder dengan fungsi perakam, peti televisyen LCD dan akses kandungan pendidikan dan maklumat kepada lebih 10,000 buah sekolah.

"Kami di ASTRO percaya dengan teknologi satelit, infrastruktur penyiaran dan akses kepada kandungan kreatif yang terbaik dalam kelasnya dapat memainkan peranan merealisasikan visi memberi peluang pelajaran kepada lebih 5.2 juta kanak-kanak sekolah di seluruh negara," katanya.

Menurutnya, ketika ini fasa satu program itu melibatkan sebanyak 127 sekolah, 13 Pusat Teknologi Pendidikan Bahagian dan 53 Pusat Kegiatan Guru dengan membabitkan 195 guru di Sabah dan Sarawak.

"Fasa dua akan meliputi kawasan Semenanjung Malaysia dan Pagoh adalah kawasan pertama yang akan menerima pemasangan ASTRO di bawah program ini," jelasnya.