PARIT JAWA – Masyarakat di daerah Muar diminta supaya tidak menimbulkan sebarang isu yang berbaur perkauman kerana boleh menggugat kesejahteraan dan perpaduan masyarakat di sini.
Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Chua Jui Meng berkata, sebagai sebuah negara yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama, isu sedemikian perlu dielakkan daripada dibincangkan secara terbuka seperti mana yang dimainkan oleh media arus perdana yang lain.
Menurutnya, tindakan sedemikian seharusnya dihentikan kerana ia tidak memberikan sebarang manfaat kepada negara dan rakyat, sebaliknya hanya akan memburukkan lagi keadaan.
“Saya juga menggesa rakyat di sini supaya saling bekerjasama dan menggembleng tenaga bersama-sama kerana ia menjadi asas penting untuk menjadi negara maju.
“Oleh itu, semangat perpaduan perlu sentiasa dipertingkatkan walaupun berlainan agama dan bangsa,” katanya ketika berucap dalam Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya di Medan Asam Pedas anjuran Persatuan Bakti Bakri di sini, semalam.
Hadir sama Yang Dipertua Pas Kawasan Muar, Abu Bakar Lajat, Ketua Cabang PKR Muar, Yatin Sarpan dan Ahli Dewan Undangan (Adun) Bentayan, Gwee Tong Hiang.
Katanya, rakyat boleh hidup dalam keadaan harmoni serta saling menghormati sekiranya mereka mempunyai semangat perpaduan yang utuh.
“Situasi ini memberi gambaran bahawa semangat ini perlu ada sebagai negara Malaysia yang sebenar.
“Semangat ini juga adalah cara yang diamalkan oleh Persatuan Bakti Bakri ini sejak wujud kira-kira 10 tahun lalu,” katanya.
Jui Meng berkata, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Bakti Bakri berperanan memberi bantuan kebajikan kepada masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
“Ini merupakan pendekatan yang digunakan oleh persatuan ini untuk membela nasib rakyat di Muar,” katanya.
Jui Meng turut menyampaikan sumbangan duit raya dan barangan keperluan kepada 100 orang miskin dari Parlimen Muar dan Bakri pada majlis itu.
Ahad, Oktober 10, 2010
Elak timbul isu perkauman - Chua Jui Meng
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 komen:
Catat Ulasan