MUAR 1 Okt. - Bahagian Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) cawangan Muar mengutip kompaun berjumlah RM47,855 sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini.
Pengurus PPDNKK Cawangan Muar, Mohd. Basha Abidin Ali berkata, kutipan kompaun itu hasil daripada 47 kes yang direkodkan dengan 32 kes adalah kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan.
Beliau berkata, pihaknya turut mencatat enam kes mengikut Akta Timbang Sukat, empat kes di bawah Akta Kawalan Bekalan serta satu kes di bawah Akta Kawalan Harga.
"Pada masa ini, kita mempunyai tiga kes mengikut Akta Hak Cipta yang sedang dibicarakan di mahkamah kerana kesalahan itu tidak boleh dikenakan kompaun saja," katanya pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Bangunan PPDNKK Cawangan Muar di Jalan Salleh, di sini semalam.
Mohd. Basha berkata, jumlah kes yang dicatat pada tahun ini meningkat sehingga 40 peratus berbanding tahun lalu.
"Pada tahun sebelum ini, kami mengambil langkah berhemah dengan memberi nasihat dan amaran kepada peniaga untuk tidak membuat kesalahan lagi.
"Bagaimanapun, memandangkan banyak kesalahan itu sering kali dilakukan, kami terpaksa mengambil tindakan tegas pada tahun ini untuk melindungi kepentingan pengguna," katanya.
0 komen:
Catat Ulasan