Sabtu, April 16, 2011

40 peniaga Muar ditipu

Oleh KAMIL MASLIH
utusanjohor@utusan.com.my



SEBAHAGIAN daripada peniaga yang menanggung kerugian membuat laporan polis di Stadium Muar, Johor, semalam.

MUAR 15 April - Seramai 40 orang peniaga mengalami kerugian kerana ditipu selepas penganjur Karnival Jelajah Johor Amal Palestin Tsunami Jepun di Stadium Muar gagal menganjurkan program itu pada hujung minggu ini.

Utusan Malaysia difahamkan, penganjur memperdaya pelbagai pihak dengan menyatakan karnival tiga hari itu akan dirasmikan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan kutipan sumbangan akan disalurkan kepada mangsa tsunami di Jepun dan penduduk Palestin.

Kegagalan penganjur untuk mengadakan karnival tersebut disedari malam tadi selepas tidak menjelaskan sebarang bayaran bagi 50 khemah yang telah didirikan khusus untuk karnival itu.

Menurut salah seorang peserta karnival, Mohd. Glenn Abdullah, 40, dia dan rakan-rakan peniaga lain telah membuat laporan di Balai Polis Muar pada pukul 2.19 pagi tadi selepas kecewa dengan sikap penganjur yang masih terus berdolak-dalik dan menghilangkan diri.

“Rakan-rakan peniaga saya datang ke tapak karnival malam tadi untuk meletakkan barang tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian kerana khemah yang ada dibuka balik oleh syarikat khemah yang dilantik,” katanya yang merupakan Pengurus Acara dari syarikat Meps Motorsports.

Mohd. Glenn yang kerugian beribu-ribu ringgit kecewa dengan kegagalan penganjur kerana pihaknya terpaksa membatalkan pelbagai acara menarik termasuk pameran sukan permotoran serta program menggapai bintang bersama angkasawan negara, walhal promosi dan hebahan telah dilakukan di seluruh Johor.

Seorang peniaga pakaian, Mohd. Nor Hamibi Saleh, 25, berkata, apa yang berlaku menyebabkan dia kerugian RM500 kerana telah membayar penuh untuk sewa tapak seperti mana ramai rakan-rakannya yang lain dari Bazar Uptown Maharani.

“Penganjur menetapkan harga sewa yang berbeza mengikut jenis tapak, bagi gerai makanan sewanya adalah RM1,000 manakala sewa gerai barang-barang seperti pakaian dan beg tangan adalah RM500,” katanya yang merupakan peniaga pakaian.

Dalam pada itu, menurut seorang lagi peniaga yang sanggup datang dari Melaka, Yahya Jantan, 38, pihak penganjur juga gagal membuat persiapan lain termasuk menyediakan generator elektrik dan memperincikan aturcara majlis.
“Daripada hebahannya, ini bukan calang-calang karnival dan memang saya kecewa kerana kalau diteruskan pasti karnival ini mendapat sambutan,” katanya.

0 komen: