Khamis, April 14, 2011

Peragut di Muar kantoi

Oleh Junita Mat Rasid

junita@bharian.com.my
2011/04/14

LOKASI kejadian ragut membabitkan mangsa seorang pesara guru wanita.

MUAR: Tindakan dua pemuda termasuk seorang anak polis, meragut beg tangan berisi wang tunai yang mahu digunakan seorang pesara guru bagi membeli kelengkapan mengerjakan umrah, menerima padah apabila mereka dicam orang ramai, membolehkan kedua-duanya ditahan tiga jam selepas melakukan jenayah itu.

Kejadian ragut itu berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin dekat Jalan Pesta 1/1 di pinggir bandar ini, ketika mangsa Azizah Mohd Don, 59, keluar dari kereta Honda City yang dipandunya untuk ke sebuah kedai serbaneka berhadapan tempat letak kenderaan itu, apabila dua pemuda bermotosikal meragut beg tangannya.
Perbuatan jenayah itu disaksikan beberapa orang awam dan jeritan Azizah sejurus beg tangannya dilarikan turut menarik perhatian seorang posmen yang kebetulan berada di tempat kejadian cuba mengejar peragut berkenaan tetapi gagal.

Azizah yang akan menunaikan umrah bersama suaminya mulai Sabtu ini, bernasib baik apabila seorang lelaki yang berada di tempat kejadian mengecam seorang daripada peragut terbabit yang tinggal berhampiran rumahnya sebelum menyalurkan maklumat itu kepada polis.

Susulan kejadian itu, sepasukan anggota polis menyerbu sebuah rumah di Jalan Datuk Kosai, yang terletak berhampiran tempat kejadian sebelum berhasil menahan dua pemuda berusia 20 dan 21 tahun.

Hasil pemeriksaan terhadap dua pemuda terbabit, polis menemui wang tunai berjumlah kira-kira RM200 serta telefon bimbit milik mangsa yang dilarikan mereka serta merampas sebuah motosikal curi yang digunakan untuk kegiatan itu.
Siasatan lanjut terhadap pemuda terbabit membawa polis kepada lokasi beg tangan dan dokumen perjalanan milik mangsa yang dibuang di tepi jalan di Laluan Pintas Muar berhampiran rumah suspek itu.

Jurucakap polis yang mengesahkan tangkapan dua suspek terbabit, berkata kedua-dua pemuda berkenaan tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap.

Dua pemuda itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret pagi semalam, sebelum Majistret Nor`iza Mohamed membenarkan polis menahan reman kedua-duanya selama tujuh hari sehingga 19 April ini, bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap kegiatan ragut yang didalangi mereka selama ini.

Sementara itu ketika ditemui, Azizah berkata, kejadian ragut yang menimpanya itu berlaku dengan pantas sejurus beliau keluar daripada keretanya dan berjalan menuju ke arah sebuah kedai yang terletak berhadapan dengan kenderaannya.

“Ketika berjalan, saya terdengar dua kali bunyi enjin motosikal dengan kuat daripada arah belakang sebelum ia melintasi saya dan pemboncengnya meragut beg tangan saya.

“Saya bernasib baik kerana tidak terjatuh sebab beg tangan itu dipegang agak longgar menyebabkan saya tidak mengalami sebarang kecederaan. Nasib baik anak perempuan saya yang berusia 13 tahun berada dalam kereta kerana jika dia mengikut saya, sudah tentu kami akan terjatuh ketika beg tangan direntap," katanya.

Beliau berkata, beg tangan terbabit mengandungi sejumlah wang tunai yang mahu digunakannya untuk membeli beberapa kelengkapan sebelum berangkat menunaikan umrah, selain dokumen pengenalan diri dan kad bank.

0 komen: