Selasa, April 12, 2011

Pekerja karaoke dipenjara, didenda bunuh tanpa niat


MUAR 11 April - Seorang pekerja pusat karaoke dihukum penjara empat tahun dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki, lapan bulan lalu.

Tertuduh, Tan Kok Soo, 52, mengaku melakukan perbuatan itu terhadap Tan Meng Liong, yang berusia 44 tahun semasa kejadian, selepas bertengkar dengan si mati pada pukul 4 pagi, 9 Ogos tahun lalu, di hadapan sebuah pusat karaoke di Jalan Sisi, Muar.

Kok Soo didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan iaitu membunuh tanpa niat.
Menurut fakta kes, si mati telah pergi ke pusat karaoke tersebut dengan membawa sebilah parang dan membakar mercun selain menimbulkan kekecohan.

Pertengkaran telah berlaku antara Meng Liong dengan tertuduh bersama tujuh orang lain dan dia akhirnya mati ditikam dalam pergelutan itu.

Hasil laporan bedah siasat ke atas mayat Meng Liong, terdapat lapan kesan tikaman pada badan si mati.
Hakim Kamarudin Kamsun memerintahkan hukuman berkuatkuasa dari tarikh tangkap pada 19 Ogos 2010.
Pendakwaan kes dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ashrof Adrin Kamarul sementara tertuduh diwakili peguam, Tan Koon Heo.

0 komen: